Pegawai APM didakwa dapatkan suapan

Pegawai APM didakwa dapatkan suapan

am@hmetro.com.my

Kangar : Penolong Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan jawatan untuk mendapatkan suapan bagi meluluskan perolehan perkhidmatan makanan dan minum berjumlah lebih RM7,000 atas nama syarikat milik isterinya di Kangar pada 2016.

Tertuduh, Mohd Ruhaizul Md Isa @ Mansor, 45, yang pernah bertugas di APM Perlis hanya mengangguk faham dan minta untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Ruhaizul yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Pertahanan Awam Negeri Perlis didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi pihak isterinya yang berusia 45 tahun dengan mengambil tindakan meluluskan pesanan kerajaan dan memperakukan baucer bayaran atas nama Syarikat Sinar Rizki Barakah Resources milik isteri tertuduh.

Urusan berkenaan adalah berkaitan perolehan perkhidmatan makan dan minum Majlis Pemakaian Pangkat dan Pelancaran CDERT-C Peringkat Negeri Perlis kepada APM Negeri Perlis berjumlah RM7,350 di mana tertuduh mempunyai kepentingan dalam urusan berkenaan.

Perbuatan berkenaan dilakukan di Pejabat APM Negeri Perlis, Kangar antara 28 Ogos hingga 30 Ogos 2016.

Oleh hal demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009 di mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Fariz Abdul Hamid dan Pegawai Pendakwa SPRM Negeri Perlis, S Sujatha manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Ahmad Fariz dalam hujahannya memohon mahkamah menetapkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM10,000.

Namun, permohonan itu dibantah oleh Syed Muhammad Anwar yang berhujah bahawa anak guamnya itu mempunyai tanggungan seramai enam orang termasuk isteri, anak dan ibu anak guamnya yang sudah lanjut usia serta uzur.

Selain itu, anak guamnya itu bukanlah seorang yang ‘flight risk’ memandangkan anak guamnya itu adalah seorang penjawat awam dan Syed Muhammad Anwar memohon mahkamah agar dapat menetapkan jaminan sekitar RM4,000 hingga RM5,000 terhadap anak guamnya.

Nu’aman kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Mohd Ruhaizul manakala 19 Januari hadapan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top