Pegawai ATM terbabit budaya 'Yeye' akan didakwa Mahkamah Tentera

Pegawai ATM terbabit budaya 'Yeye' akan didakwa Mahkamah Tentera

am@hmetro.com.my

Alor Gajah : Seramai 15 pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dikaitkan dengan budaya ‘Yeye’ dalam kem tentera akan diambil tindakan termasuk pendakwaan di Mahkamah Tentera.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Kementerian Pertahanan mempunyai peraturan disiplin yang jelas dan tidak membenarkan sebarang perlakuan yang mencemarkan budaya ketenteraan, sama ada membabitkan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut beliau, sekiranya berlaku pelanggaran disiplin, tindakan akan diambil di peringkat dalaman melalui penubuhan jawatankuasa siasatan sebelum kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Tentera untuk pengadilan.

“Kita tahu dalam sistem ketenteraan kita mempunyai Mahkamah Tentera dan mereka yang terbabit akan diberikan pengadilan di situ.

“Di situ, mereka diberi keadilan sama ada tuduhan itu benar atau tidak dan mereka boleh menjawab segala pertuduhan sebelum sebarang hukuman dijatuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman yang mengesahkan seramai 15 pegawai dikenal pasti terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dikaitkan dengan budaya ‘Yeye’ yang tular di media sosial.

Terdahulu, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah hadir pada Majlis Makan Malam Yee Sang sempena Hiasan Tahun Baharu Cina 2006 bertemakan ‘Gadis Bunga’ di Kampung Permai Machap Umboo Baru, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan komited membentuk budaya yang jelas dan berintegriti dalam kalangan warga ATM, meskipun mengakui perubahan budaya dalam organisasi ketenteraan memerlukan masa.

Bagaimanapun kata beliau, budaya hedonisme sama sekali tidak boleh diterima sama ada di peringkat kementerian mahupun dalam domain ketenteraan, selaras dengan peringatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika perutusan tahun baharu kementerian itu baru-baru ini.

“Apa yang berlaku, sama ada ia terpencil atau tidak, jika ia bukan budaya kita (ATM), tindakan akan diambil mengikut proses dan peraturan sedia ada termasuk melalui Mahkamah Tentera,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top