hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pegawai bank berputih mata selepas kerugian RM87,650 akibat menjadi mangsa penipuan sindiket ‘Love Scam’ yang didalangi seorang lelaki menyamar sebagai kontraktor dari Australia.
Wanita tempatan berusia 39 tahun yang menetap di Bangsar South itu dipercayai berkenalan dengan suspek yang menggunakan nama ‘David Cheng Lee’ melalui aplikasi janji temu pada 19 Mac lalu.
Suspek yang mendakwa warganegara Australia berbangsa Cina memperdaya mangsa dengan menyatakan dia sedang menguruskan projek loji pembetungan di Kota Bharu, Kelantan sebagai kontraktor persendirian (self-funded contractor).
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, selepas berjaya menjalinkan hubungan cinta dan meraih kepercayaan mangsa, suspek mula menggunakan menagih simpati dengan memberikan pelbagai alasan masalah operasi projek.
“Antaranya termasuklah alasan kerosakan traktor, kekurangan dana untuk pembelian diesel, kos makanan pekerja, serta pembelian bahan kimia projek.
“Terpedaya dengan helah itu, mangsa melakukan 16 transaksi kewangan menggunakan akaun bank miliknya, merangkumi 15 transaksi pindahan wang atas talian dan satu transaksi deposit tunai.
“Pemindahan wang berjumlah RM87,650 itu dimasukkan secara berperingkat dari 1 April hingga 27 April lalu ke lima akaun bank berbeza, yang dipercayai akaun keldai (mule accounts) didaftarkan atas nama individu warga asing,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, mangsa yang akhirnya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan dan tampil membuat laporan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Siasatan sedang tertumpu kepada pengesanan suspek yang menggunakan dua nombor telefon tempatan serta mengenal pasti pemilik lima akaun bank yang digunakan bagi menerima wang mangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



