Pegawai bomba Perlis direman buat tuntutan palsu

Pegawai bomba Perlis direman buat tuntutan palsu

am@hmetro.com.my

Kangar: Seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perlis direman sehingga 16 Februari hadapan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuntutan palsu membabitkan elaun kehadiran anggota bomba bantuan mencecah RM30,000.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar pada jam 10.15 pagi hari ini.

Suspek berusia 49 tahun dan bertugas sebagai ketua balai bomba di negeri ini ditahan sekitar jam 4.20 petang semalam di Pejabat SPRM Negeri Perlis selepas dipanggil untuk memberi keterangan.

Sumber SPRM berkata, siasatan menjurus kepada tuntutan palsu yang membabitkan elaun kehadiran anggota bomba bantuan yang bernaung di bawah JBPM yang dilakukan bermula September 2023 hingga Februari tahun lalu.

“Suspek dipercayai akan mengesahkan kehadiran anggota bomba bantuan ini yang sebenarnya tidak hadir dimana segala pengesahan kehadiran anggota bomba bantuan ini kemudian akan dituntut oleh suspek untuk tujuan menerima elaun kehadiran.

“Elaun kehadiran anggota bomba ini juga dibayar sebanyak RM96 sehari dan tuntutan ini juga dipercayai membabitkan 15 orang anggota dengan tuntutan mencecah sekitar RM30,000,” katanya ketika ditemui di mahkamah itu hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM kerana mengemukakan tuntutan palsu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Ghani mengesahkan penahanan suspek.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top