Minneapolis, Amerika Syarikat: Seorang pegawai imigresen di sini, menembak mati seorang wanita pada Rabu, sekali gus mencetuskan kemarahan pemimpin tempatan, ketika Presiden Donald Trump mendakwa pegawai terbabit bertindak untuk mempertahankan diri.
Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey menyifatkan dakwaan kerajaan bahawa wanita itu menyerang ejen persekutuan sebagai “karut”, malah mengarahkan pegawai Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) supaya meninggalkan bandar raya itu.
Ribuan orang berkumpul pada waktu malam di lokasi kejadian bagi upacara peringatan, manakala penunjuk perasaan turut berhimpun di Manhattan untuk membantah tindakan kekerasan berkenaan.
Video kejadian yang tular menunjukkan sebuah SUV Honda dipercayai menghalang kenderaan penguat kuasa yang tidak bertanda ketika ia cuba melalui jalan yang dilitupi salji.
Pemandu terbabit, Renee Nicole Good, 37, cuba memandu pergi apabila pegawai mendekati dan cuba membuka pintunya sebelum seorang ejen melepaskan tiga das tembakan pistol ke arah kenderaan itu.
Trump yang mengarahkan serbuan antipendatang di seluruh negara, menuduh mangsa cuba melanggar ejen terbabit secara agresif sebelum tembakan dilepaskan.
“Wanita yang memandu kereta itu bertindak secara melulu, menghalang dan melawan menyebabkan ejen berkenaan melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri,” katanya menerusi Truth Social.
Dalam pada itu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) melancarkan kempen pengambilan 10,000 ejen ICE tambahan, namun ia mencetuskan kritikan berhubung tahap latihan pegawai di lapangan.
Ketua DHS, Kristi Noem menyifatkan insiden itu sebagai “keganasan domestik” dan mendakwa mangsa mengintip serta menghalang tugas pegawai sepanjang hari kejadian.
Gabenor Minnesota, Tim Walz pula menyelar reaksi kerajaan persekutuan sebagai “propaganda” dan berjanji akan memastikan siasatan penuh serta adil dilakukan dengan segera.
Saksi kejadian, Brandon Hewitt mendakwa mendengar tiga das tembakan sebelum melihat mayat mangsa dibawa ke ambulans oleh pihak berkuasa di lokasi kejadian.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengesahkan sehingga 2,000 pegawai kini berada di Minneapolis bagi menjalankan operasi penguatkuasaan imigresen yang menjadi keutamaan penggal kedua pentadbiran Trump.
© New Straits Times Press (M) Bhd




