redzuan.muharam@hmetro.com.my
Cyberjaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melakar kejayaan di peringkat antarabangsa apabila salah seorangnya pegawainya menerima pengiktirafan iaitu Sijil Pujian daripada Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) baru-baru ini.
Pengiktirafan itu diberikan kepada Penolong Pengarah Kastam Mohd Hairul Mohd Salleh atas perkhidmatan cemerlang beliau selain mengiktiraf sumbangannya dalam memperkukuh kerjasama antara JKDM dan WCO di peringkat antarabangsa.
Mohd Hairul berkata, pengiktirafan itu satu pencapaian bermakna yang mencerminkan komitmennya sebagai wakil JKDM dalam pelbagai platform global.
“Saya berpeluang mewakili JKDM dalam Persidangan Antarabangsa Ke-5 WCO Pusat Latihan Wipayah (RTC) Indonesia 2025 yang memfokuskan kepada transformasi kastam melalui ketelusan, inovasi dan digitalisasi perdagangan global di Jakarta, Indonesia.
“Saya juga terbabit dalam Persidangan Antarabangsa mengenai Kecemasan Nuklear dan Radiologi di Riyadh, Arab Saudi yang membincangkan usaha membina masa depan lebih berdaya tahan dalam dunia yang sentiasa berubah,” katanya.
Menurutnya, JKDM komited untuk terus bekerjasama rapat dengan WCO dalam memperkukuh integriti organisasi, memelihara keselamatan sempadan serta meningkatkan kecekapan kutipan hasil negara.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penghargaan terhadap peranan strategik JKDM dalam memastikan keselamatan sempadan dan kestabilan ekonomi negara.
Pada majlis sama, sembilan warga JKDM menerima Sijil Pujian WCO sebagai pengiktirafan terhadap khidmat cemerlang dan dedikasi mereka, selaras dengan tema Kastam Melindungi Masyarakat Melalui Kewaspadaan dan Komitmen yang diangkat pada tahun ini.
Anugerah berkenaan disampaikan setiap tahun sempena Hari Kastam Sedunia yang disambut pada 26 Januari, bagi menghargai sumbangan warga kastam dalam aspek keselamatan, perlindungan dan pemodenan perdagangan global.
Sambutan itu turut mencerminkan pengiktirafan berterusan terhadap warga JKDM yang berpegangkepada nilai teras ‘Cekap, Tangkas dan Integriti’ dalam melaksanakan amanah kepada negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




