Terkini! Seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas dua pertuduhan melibatkan dana berjumlah RM15,000.
Dilaporkan, dana berjumlah RM15,000 itu adalah wang bantuan membaiki rumah melibatkan tiga individu berasingan.
Pegawai JKM berdepan dua pertuduhan

Lapor Buletin TV3, tertuduh, Mohamad Zarir Mohd Khozali, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.
Untuk pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu merupakan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim didakwa secara curang menyalahgunakan bantuan membaiki rumah berjumlah RM3,000 milik Umi Kalsom Awang, 39.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kulim pada 19 September 2016.
Untuk pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa secara curang menyalahgunakan bantuan membaiki rumah berjumlah RM12,000 milik Siti Daoyah Awang, 77, dan Azizah Ishak, 72.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di Bank CIMB, Jalan Tuanku Putra, Kulim pada 2 Oktober 2017.

Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memohon jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan. Namun pihak pembelaan memohon jaminan minimum dengan alasan tertuduh bakal menerima separuh gaji, masih menanggung persekolahan empat anak berusia antara 10 hingga 19 tahun serta menyara kedua ibu bapanya yang uzur.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin. Dia juga tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sepanjang tempoh perbicaraan. Tarikh 8 April depan ditetapkan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pssttt! Dana bantuan baiki rumah bukan sekadar wang, tetapi peluang untuk hidup lebih selesa. Bila timbul dakwaan penyelewengan, ia bukan sahaja mencalar imej institusi malah menyentuh kepercayaan rakyat. Semoga proses perbicaraan berjalan adil dan kebenaran dapat ditentukan oleh mahkamah.
Kredit: Buletin TV3
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.



