bhnews@bh.com.my
PADANG TERAP: Polis menahan seorang pemandu lori balak disyaki menghayun kapak ke arah pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang melakukan pemeriksaan terhadapnya, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi di simpang tiga Jalan Kurung Hitam, di sini, suspek berusia lingkungan 50-an didakwa berbuat demikian susulan tidak berpuas hati dan enggan bekerjasama dengan pegawai JPJ terbabit.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, berkata terdahulu dua pegawai penguat kuasa berkenaan dikata memberhentikan kenderaan di tepi lori itu sebelum suspek turun dan menunjukkan sekeping saman yang diterimanya pada Januari lalu.
Beliau berkata, pegawai JPJ terbabit kemudian meminta lelaki itu menunjukkan lesen memandu dan MyKad, namun suspek didakwa enggan memberikan kerjasama.
“Selain itu, suspek dikata turut mengeluarkan telefon bimbit dan merakam video dua pegawai JPJ terbabit sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara mereka.
“Suspek kemudian didakwa mengeluarkan kapak dari lorinya dan menghayunkan senjata tajam itu ke arah pegawai JPJ terbabit,” katanya, hari ini.
Mulkiaman berkata, pegawai JPJ terbabit bagaimanapun dikatakan berjaya merampas kapak berkenaan, sebelum membuat laporan polis.
Susulan itu, beliau berkata, pemandu lori terbabit ditahan untuk membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




