Oh! Tidak
Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Kajang dan Bandar Baru Bangi bagi membantu siasatan, termasuk menjejak transaksi mata wang kripto berkenaan.
Satu lagi kes yang menggemparkan melibatkan pasukan keselamatan negara apabila 12 anggota polis ditahan kerana disyaki terbabit dalam rompakan mata wang kripto bernilai kira-kira RM200,000.
Kes ini mencetuskan persoalan besar apabila empat daripada yang ditahan adalah pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sendiri.
Disyaki terbabit rompakan berkumpulan mata wang kripto

Menurut laporan Harian Metro, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang Asisten Superintendan, Inspektor, sarjan, enam koperal, dua lans koperal dan seorang konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun.
Penahanan dilakukan dalam beberapa tangkapan bersepadu oleh pasukan khas dari ibu pejabat polis daerah dalam tempoh dua hari.
Kes ini bermula selepas seorang juru ukur pasaran warga China berusia 31 tahun membuat laporan polis mendakwa dia dan tujuh rakannya dipaksa memindahkan mata wang kripto sebagai syarat pembebasan selepas banglo yang disewa mereka di kawasan berpagar di Country Heights, Kajang diserbu polis.
Sumber memaklumkan, sepasukan pegawai daripada unit jenayah komersial daerah menyerbu banglo dua tingkat itu pada jam 11.10 malam, 5 Februari lalu kerana mengesyaki penghuninya menjalankan operasi penipuan.
Pegawai terbabit memaklumkan bahawa mereka menjalankan operasi anti-penipuan dikenali sebagai Op Taring dan mengesyaki penghuni rumah itu terbabit kegiatan penipuan dalam talian yang dikaitkan dengan sindiket di Kemboja.
Selepas memeriksa peranti elektronik dan pasport mereka, tiada bukti kegiatan jenayah ditemui. Tiada rekod juga menunjukkan pengadu dan rakannya pernah ke Kemboja.
Dakwaan diugut dan dipaksa bayar

Mangsa memaklumkan kepada polis bahawa mereka adalah juru ukur pasaran yang bekerja dengan sebuah syarikat berpangkalan di China.
Namun, mereka didakwa diugut akan ditahan serta dikenakan tindakan imigresen kecuali membayar RM400,000.
Bimbang dengan keselamatan diri terutama kerana terdapat tiga wanita dalam kumpulan itu, seorang daripada mangsa menghubungi majikannya di China.
Selepas rundingan, suspek didakwa bersetuju menerima bayaran 50,000 USDT (mata wang kripto tether), yang dipindahkan ke alamat dompet kripto diberikan suspek. Bayaran dibuat pada awal pagi dan hanya selepas transaksi disahkan, barulah pegawai polis itu meninggalkan premis.
Sebelum beredar, suspek turut didakwa mengarahkan kumpulan itu mengosongkan rumah dalam tempoh dua hari atau berdepan tindakan lanjut.
Siasatan bawa kepada 12 tangkapan

Siasatan awal membawa kepada penahanan tujuh anggota polis dari unit JSJK dan pencegahan jenayah daerah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan. Polis turut merampas beberapa telefon bimbit pelbagai jenama, kad SIM serta dokumen yang dipercayai berkaitan operasi berkenaan.
Mereka termasuk pegawai dan anggota dengan tempoh perkhidmatan antara dua hingga 27 tahun, memegang jawatan seperti Inspektor, sarjan dan koperal yang bertugas menjalankan risikan dan operasi. Siasatan lanjut dan risikan mendedahkan pembabitan lima lagi anggota polis termasuk empat yang bertugas di unit siber dan forensik digital di JSJK Bukit Aman.
Keempat-empat anggota terbabit berusia antara 35 hingga 44 tahun dan berkhidmat antara enam hingga 22 tahun.
Pssttt! Isu rompakan mata wang kripto melibatkan anggota penguat kuasa ini pastinya memberi tamparan hebat kepada kepercayaan masyarakat. Jika benar berlaku salah guna kuasa, tindakan tegas perlu diambil tanpa kompromi demi menjaga integriti pasukan keselamatan negara.
Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.




