Pegawai kanan JIM mengaku tidak bersalah terbabit penggubahan wang haram sebanyak RM718,710

Pegawai kanan JIM mengaku tidak bersalah terbabit penggubahan wang haram sebanyak RM718,710

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor sekali lagi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM718,710 antara 2022 hingga 2023.

Tertuduh, Nas Suffian Nasrun, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Lelaki itu didakwa terbabit secara langsung dalam transaksi wang haram berjumlah RM718,710 daripada akaun seorang lelaki ke akaun bank sebuah syarikat melalui 64 transaksi dalam talian antara 26 Julai 2022 hingga 9 Jun 2023.

Pertuduhan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Pandan Indah di sini.

Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah wang haram atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa ia dilakukan atau RM5,000,000 yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Aznika Mohd Anas menawarkan jaminan RM300,000 dengan lelaki itu perlu dikenakan syarat tambahan.

Bagaimanapun, Muhammad Zaim Rosli memohon jaminan RM10,000 dengan mengambil kira anak guamnya berpotensi dikenakan tindakan tahan kerja susulan pendakwaannya dan perlu menanggung lima anak yang masih bersekolah.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM100,000 dengan menggunapakai syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada Selasa lalu.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama lima pertuduhan lain.

Pada Selasa lalu, lelaki itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM933,295 antara 2022 hingga 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top