PETALING JAYA: Seramai enam individu termasuk pegawai kanan dan anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes samun berkumpulan yang dilaporkan berlaku di daerah Gombak pada 27 Februari lalu.
Penahanan itu dilakukan selepas satu laporan polis berhubung kejadian diterima sebelum operasi khas dilancarkan bagi mengesan dan menangkap suspek yang terbabit.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil siasatan dan risikan dijalankan, tangkapan Berjaya dilakukan bermula pada Isnin lalu.
Katanya, menerusi operasi ini seramai tangkapan membabitkan enam lelaki warga tempatan dilakukan di beberapa lokasi berbeza.
“Daripada jumlah itu, tiga suspek dikenal pasti sebagai penjawat awam iaitu dua pegawai kanan dan seorang anggota polis.
“Tiga lagi adalah orang awam di mana seorang daripadanya mempunyai 20 rekod lampau,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Katanya, kesemua suspek kini direman sehingga sehingga esok bagi membantu siasatan.
“Hasil tangkapan ini, pelbagai barangam antara barangan wang tunai berjumlah RM1,498 serta pelbagai barang kes termasuk kenderaan Mercedes Benz, Chery Omoda 5, van Hiace dan tiga vest bertulis ‘polis’ dirampas.
“Turut dirampas ialah ketulan emas seberat 100 gram dan 13 telefon bimbit pelbagai jenama,” jelasnya.
Katanya, polis kini giat mengesan dua lagi individu yang masih bebas hasil pendedahan maklumat daripada suspek yang ditahan.
“Polis Kontinjen Selangor menegaskan siasatan telus dan menyeluruh sedang dijalankan tanpa kompromi walaupun kes ini membabitkan warga pasukan sendiri,” katanya.-UTUSAN.




