am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Seorang pegawai penguat kuasa kanan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, hari ini, kerana disyaki menerima barangan berharga dan wang tunai berjumlah RM14,000 daripada seorang kontraktor.
Menurut sumber, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di pejabat SPRM negeri sekitar jam 1 tengah hari.
“Pegawai SPRM menahan suspek selepas dia memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat,” kata sumber berkenaan.
Sumber turut memaklumkan bahawa penahanan dilakukan susulan satu aduan yang dibuat oleh kontraktor terbabit beberapa bulan lalu.
Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menerima sesuatu yang berharga tanpa balasan yang mencukupi, yang mungkin dilakukan dengan motif rasuah oleh penjawat awam.
Difahamkan bahawa pegawai berkenaan sebelum ini pernah berkhidmat di daerah Machang, namun dipindahkan ke negeri lain beberapa tahun lalu.
Pengarah SPRM Kelantan, Rusli Husain, mengesahkan penahanan itu.
Beliau berkata, pegawai terbabit dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd