harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diseru perangi korupsi dan berani bertindak radikal dalam melaksanakan tugas.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, pendekatan ini penting bagi memastikan sektor pencegahan bergerak seiring dengan penguatkuasaan dalam usaha membanteras rasuah secara menyeluruh serta berimpak tinggi.
“Antara contoh terkini keberanian SPRM iaitu bersuara dan bertindak tegas melalui kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM berhubung cadangan mengehadkan kuasa Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang telah mendapat perhatian meluas media baru-baru ini.
“Ini membuktikan SPRM bukan sahaja berperanan menjalankan siasatan, malah berani mengemukakan pandangan serta cadangan penambahbaikan demi memperkukuh tadbir urus dan integriti negara,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengarah-Pengarah SPRM Bil. 1/2026 di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.
Menurutnya, setiap pegawai SPRM perlu bersedia untuk mewakili agensi itu tidak kira di peringkat domestik atau antarabangsa bukan sahaja dari sudut penampilan, komunikasi malah merangkumi pengetahuan dan kewibawaan.
Katanya, semua pengarah dan penyelia digesa supaya sentiasa proaktif dalam memantau tingkah laku pegawai di bawah seliaan masing-masing, peka terhadap tanda awal permasalahan, dan berperanan sebagai pembimbing melalui nasihat serta teguran yang berhemah.
“Penguasaan Bahasa Inggeris perlu dikuasai dengan baik dan disokong oleh pengetahuan kukuh dalam bidang tugas masing-masing, supaya pegawai mampu berkomunikasi, menulis dan bertindak dengan yakin serta berautoriti.
“Sebarang salah laku perlu ditangani lebih awal oleh pihak pengurusan, dan kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan integriti SPRM.
“Isu disiplin tidak seharusnya dibiarkan berlarutan menjadi serius atau tular, sebaliknya perlu ditangani secara proaktif dan berperingkat bagi memastikan tahap integriti SPRM sentiasa terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




