rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati lima pegawai dan anggota tentera disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan di kawasan perairan Selat Melaka hingga Johor.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai berpangkat Leftenan Kolonel, kapten serta anggota lain-lain pangkat itu berperanan membocorkan maklumat kepada sindiket berkenaan.
“Mereka berkhidmat dalam pasukan Tentera Darat dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mana mereka ini menjalankan tugas sebagai pegawai risikan untuk mendapatkan maklumat keselamatan berkaitan isu penyeludupan terutama sekali di laut.
“Jadi mereka ini dikatakan membocorkan maklumat itu kepada penjenayah terbabit dalam aktiviti penyeludupan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Persidangan Meja Bulat (RTD) di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad.
Mengulas lanjut, Azam berkata, tindakan pegawai dan anggota terbabit membocorkan maklumat itu boleh menjejaskan operasi penguatkuasaan lain kerana sindiket dapat mengetahui gerakan pihak berkuasa.
“Kalau betul perkara ini berlaku, ia sebenarnya satu faktor yang menyusahkan agensi penguat kuasa lain kerana kebocoran maklumat yang berlaku.
“Kebanyakan kes membabitkan perairan di sekitar Selat Melaka ke Johor,” katanya.
Beliau berkata, mereka yang diberi tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan melindungi maklumat strategik, bertindak sebaliknya dengan menjadi pemudah cara kepada kegiatan penyeludupan.
Menurutnya, mereka sepatutnya menjaga keselamatan negara dan berkongsi maklumat kepada agensi penguat kuasa tetapi memilih melakukan sebaliknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd