Pegawai tentera memandu mabuk berdepan 3 pertuduhan – Polis

Pegawai tentera memandu mabuk berdepan 3 pertuduhan – Polis

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pegawai tentera disyaki memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh kenderaan e-hailing dan mengakibatkan lelaki warga Bangladesh maut di Lebuhraya Maju (MEX), di sini yang akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun, turut berdepan dua pertuduhan lain, esok.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek berusia 31 tahun itu akan dituduh di dua mahkamah berasingan.

Menurutnya, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian penumpang lelaki kenderaan e-hailing berkenaan dan pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Jenayah Jalan Duta, di sini pada 9.30 pagi.

“Selain itu, suspek juga akan dituduh mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu kenderaan di jalan awam mempunyai sebegitu banyak alkohol dalam badannya sehingga kadar alkohol di dalam nafas melebihi had yang ditetapkan iaitu 150mg dan seterusnya menyebabkan kecederaan kepada penumpang kenderaan e-hailing.

“Dia juga akan dituduh mengikut seksyen sama kerana menyebabkan kecederaan kepada pemandu kenderaan e-hailing. Dua pertuduhan mengikut Seksyen 44(1A) APJ 1987 itu akan dibuat jam 10.30 pagi di Mahkamah Trafik Jalan Duta di sini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, arahan itu diperolehi pihaknya selepas merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) Putrajaya, hari ini.

Hari ini Harian Metro melaporkan, Pegawai tentera yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh kenderaan e-hailing dan mengakibatkan lelaki warga Bangladesh maut di Lebuhraya MEX, Khamis lalu akan didakwa di mahkamah, esok.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dipetik berkata, polis sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan kepada pejabatnya untuk semakan.

Dalam kejadian itu, lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun maut, manakala empat lagi individu termasuk pemandu e-hailing cedera selepas dua kenderaan bertembung.

Hasil ujian alat pernafasan ke atas suspek yang memandu kereta jenis Ford Fiesta menunjukkan bacaan alkohol yang melebihi had dibenarkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top