Peguam Dedah PU Azman Manfaat Masa Ajar Ilmu Agama Di Penjara

Peguam Dedah PU Azman Manfaat Masa Ajar Ilmu Agama Di Penjara

Penceramah selebriti, PU Azman atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 44, yang kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, Selangor, memanfaatkan masa dengan mengajar ilmu agama kepada banduan lain sebagai sebahagian daripada rutin hariannya.

Menurut peguamnya, Mohamad Zahid Ahmad menerusi hantaran di Facebook,  PU Azman berada dalam keadaan baik dan turut dimaklumkan telah menghafaz empat juzuk al-Quran sepanjang berada dalam tahanan.

“Beliau dalam jagaan yang baik, setiap hari mengajar banduan dan kadang-kala berkongsi ilmu dengan pegawai penjara. Beliau juga memohon agar semua mendoakannya,” katanya.

Tambahnya, setiap kali bertemu, PU Azman pasti meminta dibawakan buku baharu, menunjukkan minatnya yang mendalam terhadap ilmu meskipun berada dalam situasi sukar.

“Hanya beliau yang tahu apa yang dirasai, namun saya percaya setiap ujian ada hikmahnya. Ini adalah perjalanan terbaik yang Allah SWT tentukan untuknya,” jelasnya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan PU Azman untuk menjalani hukuman penjara secara serentak selama 12 tahun bagi dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki, berbanding hukuman asal 24 tahun. Namun, hukuman dua sebatan kekal seperti diputuskan sebelum ini.

PU Azman mula menjalani hukumannya di Penjara Kajang sejak 27 September 2024.

Scroll to Top