Kota Kinabalu: Pasukan peguam mewakili ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, akan memanggil saksi pakar psikiatri pilihan mereka bagi membantu menilai isu-isu berkaitan secara lebih menyeluruh dan seimbang.
Dalam satu kenyataan bersama, hari ini, mereka berkata saksi itu antara lain akan membantu Mahkamah Koroner menilai perkara terbabit secara saksama berdasarkan keseluruhan bukti bakal dikemukakan.
Pada masa sama, katanya, ada saksi-saksi lain termasuk saksi watak berhubung arwah, belum dipanggil memberi keterangan di mahkamah.
Pasukan peguam itu berkata, mereka mengambil maklum liputan media dan perbincangan dalam media sosial mengenai keterangan saksi ke-67 yang juga pakar psikiatri, Dr Chua Sze Hung, serta laporan autopsi psikiatri yang dikemukakan pada prosiding inkues kes kematian Zara Qairina.
“Adalah penting untuk ditegaskan bahawa Mahkamah Koroner adalah pihak diberi bidang kuasa untuk menilai keseluruhan keterangan dan menentukan dapatan berdasarkan semua bukti yang dikemukakan sepanjang prosiding inkues ini.
“Keterangan mana-mana saksi termasuk pakar, serta laporan dikemukakan, hanyalah sebahagian daripada keseluruhan keterangan yang belum selesai dibentangkan dan diuji sepenuhnya di mahkamah.
“Sehubungan itu, sebarang rumusan atau kesimpulan awal dibuat berdasarkan keterangan setakat ini, adalah tidak wajar serta berisiko mengelirukan persepsi awam terhadap prosiding yang sedang berjalan.
“Selain itu, sebarang dokumen yang dirujuk dalam laporan itu termasuk catatan peribadi seperti diari, bukan bukti yang konklusif dan masih tertakluk kepada pengesahan melalui keterangan pakar forensik.
“Kesahihan, pemilikan serta konteks kandungan dokumen berkenaan perlu ditentukan melalui proses pembuktian yang ketat di mahkamah,” menurut kenyataan itu.
Pasukan peguam itu dibarisi Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Kelmarin, Dr Chua, 43, memberitahu Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu bahawa cara kematian Zara Qairina paling konsisten dengan tindakan membunuh diri, berdasarkan bedah siasat psikologi.
Pakar psikiatri forensik dari Hospital Mesra Bukit Padang di Kota Kinabalu itu dipetik berkata, mangsa jelas menunjukkan faktor risiko bunuh diri lebih dominan berbanding faktor pelindung ketika kejadian.
Saksi ke-67 itu dipetik berkata, beliau menyediakan, menandatangani dan mengecap laporan psikiatri setebal 84 muka surat bertarikh 2 Februari lalu untuk mahkamah, yang memfokus isu kebarangkalian membunuh diri dan keadaan berkaitan remaja berusia 13 tahun itu.
Antara maklumat dan dokumen disemak termasuk diari Zara Qairina; lokasi kejadian; laporan bedah siasat oleh pakar perunding patologi forensik, Dr Jessie Hiu; laporan kaunseling; lawatan ke asrama dan bilik dormitori Zara Qairina; dan temu bual dengan ahli keluarga, kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha serta sekolah rendah mangsa.
Justeru, terdapat maklumat menunjukkan gangguan emosi, kemarahan melampau, tingkah laku mencederakan diri sendiri, hubungan interpersonal tidak stabil, dan ketakutan akan ditinggalkan.
Dr Chua bagaimanapun dilaporkan berkata, ia tidak mencukupi untuk membentuk diagnosis gangguan personaliti secara retrospektif.
Diari Zara Qairina dilaporkan mengandungi luahan emosi terhadap ibu, termasuk kemarahan, kebencian serta ungkapan ingin menjauhkan diri dan tidak lagi tinggal bersama keluarga, selain menunjukkan luahan emosi berulang terhadap ibunya.
Seterusnya, pasukan peguam itu menekankan pada masa sama, orang awam diminta lebih berhemah dalam memberi sebarang komen atau pandangan dalam ruang awam, termasuk media sosial.
Menurutnya, ini kerana dalam perkembangan semasa, ada beberapa kes yang mana kenyataan atau komen dalam ruang awam telah membawa kepada tindakan undang-undang, termasuk siasatan serta pendakwaan.
“Wajar diingatkan bahawa ibu Allahyarham Zara, Noraidah Lamat, adalah pihak yang telah mengambil langkah mendapatkan keadilan melalui prosiding inkues ini.
“Beliau kini mengikuti setiap perkembangan dengan penuh ketabahan demi memastikan kebenaran dapat ditentukan oleh mahkamah.
“Kami menegaskan sebarang komen bersifat spekulatif, tidak sensitif atau tidak berasas, adalah tidak wajar dan boleh menambahkan lagi beban emosi yang sedang ditanggung oleh keluarga Allahyarhamah Zara.
“Semua pihak diseru menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan serta menjaga sensitiviti keluarga Allahyarhamah Zara dalam tempoh ini,” katanya.
Prosiding inkues berkenaan dijadualkan bersambung 13 hingga 17 April ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




