Peguam Kanan Persekutuan dipenjara sehari, denda RM130,000 kerana rasuah

bhnews@bh.com.my

BUTTERWORTH: Seorang Peguam Kanan Persekutuan dipenjara sehari dan didenda RM130,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM700,000 di antara Mei hingga Jun tahun lalu.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Lim Cheah Yit, 43, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan sejurus dikemukakan terhadapnya.

Berdasarkan tiga pertuduhan, Cheah Yit sebagai pegawai badan awam iaitu Peguam Kanan Persekutuan yang bertugas di Pejabat Jabatan Peguam Negara, Pulau Pinang, bersetuju menerima wang tunai keseluruhan berjumlah RM700,000.

Tertuduh didakwa menerimanya daripada seorang lelaki yang diketahui mempunyai urusan rasmi yang akan dijalankan dengan Pegawai Pendakwaan Negeri Pulau Pinang iaitu bagi menuduh seorang lelaki lain di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 420, Kanun Keseksaan.

Bagi tuduhan pertama, Cheah Yit didakwa bersetuju menerima RM500,000 di dalam bilik sebuah pusat karaoke di Gurney Paragon Mall di sini, kira-kira jam 7 malam pada 8 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa bersetuju menerima RM100,000 di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Alor Setar, Kedah kira-kira jam 12.43 tengah hari pada 18 Mei 2020.

Manakala pertuduhan ketiga, dia bersetuju menerima RM100,000 di AC Hotel Penang, Bukit Jambul dekat sini, pada jam 12.19 tengah hari pada 1 Jun 2020.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu mengikut Seksyen 165, Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam bela, S Devanandan.

Susulan pengakuan bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikenakan, Ahmad Azhari menjatuhkan hukuman penjara dan denda berkenaan terhadapnya.

Sejurus selesai membayar denda yang dikenakan, tertuduh dihantar ke Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal, untuk menyelesaikan hukuman penjara sehari yang berjalan serentak yang dikenakan terhadapnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd