Peguam mahu fail permohonan batal pertuduhan Ahli Parlimen Padang Serai, dakwa ia tidak berasas, cacat

Peguam mahu fail permohonan batal pertuduhan Ahli Parlimen Padang Serai, dakwa ia tidak berasas, cacat

lokman.khairi@hmetro.com.my

Shah Alam: Pasukan pembelaan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin mendakwa pertuduhan bersubahat rasuah yang dikenakan terhadap wakil rakyat itu tidak berasas dan defektif (cacat).

Peguam N Surendran berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan pertuduhan terbabit sebelum tarikh sebutan semula kes pada 17 Januari depan.

“Pertuduhan di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 itu kononnya dibuat atas dakwaan Azman bersubahat dengan individu lain dalam kapasitinya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB), namun perincian pertuduhan itu langsung tidak menunjukkan sebarang kesalahan.

“Daripada perincian pertuduhan, tidak ada fakta yang menunjukkan sebarang kelakuan salah oleh Azman.

“Oleh itu, pertuduhan ini adalah tidak berasas dan kami akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkannya,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam, di sini, hari ini.

Terdahulu, Azman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan bersubahat menerima rasuah RM400,000 berkaitan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot milik Kerajaan Negeri Kedah,

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin kemudiannya membenarkan Ahli Parlimen Bersatu itu diikat jamin sebanyak RM75,000 dengan seorang penjamin, selain mengeluarkan perintah supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, pihak pembelaan membantah arahan penyerahan pasport itu kerana ia tidak berasas memandangkan Azman adalah Ahli Parlimen dengan rekod yang baik serta tiada risiko melarikan diri.

“Tidak ada sebab mengapa pasport beliau perlu diambil memandangkan beliau adalah seorang Ahli Parlimen yang dengan rekod (hadir sidang Dewan Rakyat) yang baik, jelas tidak ada isu bahawa beliau akan melarikan diri dan sebagainya.

“Justeru, kita akan memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi untuk mencabar perintah itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top