Peguam Negara akan teliti kertas siasatan kes kibar bendera Israel

Peguam Negara akan teliti kertas siasatan kes kibar bendera Israel

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Jabatan Peguam Negara akan meneliti kertas siasatan yang diberikan oleh pihak polis berhubung pengibaran bendera Israel oleh penganjur Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza di Lembah Sireh di sini, pada Jumaat lalu.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, beliau difahamkan kertas siasatan sudah dihantar kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan.

“Setakat ini kami belum menerimanya lagi dan sebaik kertas siasatan itu diterima, kita akan meneliti setiap aspek keterangan kes yang dikemukakan.

“Kita juga akan menentukan sama ada wujudnya apa-apa kesalahan dibawah undang-undang yang terpakai di negara ini,” katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, kertas siasatan berhubung pengibaran bendera Israel oleh pihak penganjur Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza di Lembah Sireh pada Jumaat lalu sudah dihantar kepada PPN untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, siasatan berhubung pengibaran bendera itu sudah selesai dijalankan.

Pada Jumaat lalu, Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia yang menganjurkan Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza mengibarkan bendera Israel ketika melakukan lakonan semula pada program berkenaan sehingga menimbulkan salah faham pelbagai pihak.

Pengarah program, Mohd Khairul Hafiz Hassan dilaporkan berkata, susulan tindakannya itu beliau memohon maaf dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk siasatan berhubung perkara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top