rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya kubur Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan ke atas mayat terbabit.
AGC menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
“Sehubungan itu, laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan, termasuk keperluan untuk menggali semula (exhume) mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat (post-mortem) dijalankan ke atas jenazah.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan PDRM memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan peguam mewakili keluarga Zara Qairina berharap polis melaksanakan penggalian semula kubur pelajar terbabit bagi menentukan punca sebenar kematiannya.
Dua peguam terbabit yang mewakili ibu Zara Qairina, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri turut berharap siasatan dilakukan pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.
Bagi membantu melengkapkan siasatan polis, ibu Zara, Noraidah Lamat turut menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman audio perbualan telefon di antara dia dan Zara kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, semalam.
Pada masa sama, wanita terbabit juga memberi keterangan kepada pegawai penyiasat yang berlangsung selama lebih empat jam.
Zara Qairina, 13, ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu.
Sejak kejadian, pelbagai spekulasi dan teori tular di media sosial termasuk dakwaan membabitkan unsur jenayah dan buli.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd