Kuala Lumpur: Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan hari ini berkata turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
“Jawatankuasa ini akan melaksanakan siasatan secara terperinci bagi memberikan pengadilan sewajarnya kepada pihak yang disiasat.
“Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri dan Pihak Berkuasa Tatatertib untuk pertimbangan lanjut berdasarkan tatacara sewajarnya,” katanya.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini, menegaskan bahawa pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Beliau dilaporkan berkata perkara itu tidak disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham berkenaan yang dibeli tahun lepas sudah dilupuskan dalam tahun sama.
Terdahulu, Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata penubuhan jawatankuasa berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi menyiasat dakwaan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




