Peguam Negara, Peguam Besar Negeri terbabit proses rundingan MA63 – Fadillah

Peguam Negara, Peguam Besar Negeri terbabit proses rundingan MA63 – Fadillah

Kuching: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, proses rundingan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sememangnya membabitkan pelbagai pihak, termasuk badan perundangan tertinggi negara iaitu Peguam Negara dan Peguam Besar Negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) berkata, segala rundingan juga berpaksikan undang-undang sedia ada.

“Sebab itu perundingan nanti memerlukan bukan saja peringkat antara Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg), ia juga membabitkan Peguam Besar Negeri dan Peguam Negara.

“Jadi, rundingan ini akan berterusan dan akhirnya matlamat seperti mana yang dikatakan oleh Perdana Menteri dan juga Premier ialah untuk mencari kaedah menang-menang dalam kerangka kerja dan lingkungan Perlembagaan dan perundangan yang sedia ada,” katanya ditemui media selepas merasmikan Majlis Perasmian Minggu Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) Borneo 2025, di sini, hari ini.

Fadillah berkata demikian bagi mengulas cadangan peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla baru-baru ini, supaya Peguam Negara dan Peguam Besar Negeri diberi tanggungjawab untuk berbincang dan menasihati Kerajaan Pusat serta negeri dalam setiap pertikaian membabitkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Mohamed Haniff dilaporkan media sebagai berkata, kedua-dua mereka juga perlu berunding untuk menyelesaikan isu tuntutan Kerajaan Negeri Sarawak membabitkan pengagihan sumber asli negeri itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top