Pei Ler curi tumpuan, raih gangsa Kejohanan Remaja Dunia

Pei Ler curi tumpuan, raih gangsa Kejohanan Remaja Dunia

PETALING JAYA: Atlet muda negara, Tan Pei Ler mencuri tumpuan apabila menghadiahkan pingat gangsa dalam acara kayu panjang wanita remaja (Girls’ Youth Gunshu) pada hari pertama Kejohanan Wushu Remaja Dunia Ke-10 di Tianjin, China, semalam.

Pei Ler mencatatkan 9.140 mata untuk mengesahkan kedudukan podium, manakala rakan sepasukan Amber Tan Ling Xin turut mempamerkan aksi konsisten apabila menamatkan saingan di tempat kelapan.

Momentum cemerlang Malaysia diteruskan pada hari kedua apabila Crystal Wee Yu Tang meraih pingat perak dalam acara seni tempur tangan kosong kanak-kanak perempuan (Girls’ Children Changquan) selepas mengumpul 8.523 mata.

Aksi mantap itu menyaksikan Crystal mempamerkan teknik kemas dan konsistensi tinggi untuk memastikan kedudukan di podium.

Dalam sesi petang hari kedua, Ho Jing Tyhe menambah kilauan perak menerusi acara lembing lelaki remaja (Boys’ Junior Qiangshu) dengan catatan 8.386 mata.

Malaysia turut meraih dua pingat gangsa masing-masing menerusi Bryan Wee Hao Quan dalam acara seni tempur tangan kosong kanak-kanak lelaki (Boys’ Children Changquan) dan Darren Hiing Chee Yik bagi acara pedang lebar kanak-kanak lelaki (Boys’ Children Nandao).

Turut mencuri perhatian, Lee Ronn muncul terbaik dalam pusingan awal acara kayu panjang lelaki remaja (Boys’ Youth Gunshu) Kumpulan 2 selepas meraih 9.140 mata untuk mara ke final bersama Cheng Qi Tim.

Secara keseluruhan, Malaysia kini mengumpul tujuh pingat iaitu satu emas, tiga perak dan tiga gangsa setakat 27 Mac ketika saingan masih berlangsung. – UTUSAN

Scroll to Top