Pejabat AI Kebangsaan dirasmikan Disember ini

Pejabat AI Kebangsaan dirasmikan Disember ini

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di Kuala Lumpur pada 12 Disember depan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pejabat itu antara lain berfungsi membantu kerajaan merangka struktur polisi berkaitan sektor AI di negara ini.

Beliau berkata, NAIO bakal memberi fokus kepada empat aspek iaitu pelaburan digital, inovasi, polisi dan tadbir urus.

“Pejabat AI Kebangsaan ini akan dilancarkan pada 12 Disember ini oleh Perdana Menteri di Kuala Lumpur.

“Ada beberapa aspek kita lihat dalam pembentukan Pejabat AI Kebangsaan, yang mana pertamanya mengenai pelaburan digital dalam sektor AI dan kedua, bagaimana kita pastikan inovasi dapat diperkasakan dalam AI.

“Ketiga, kita melihat juga aspek polisi dari sudut kerajaan iaitu bagaimana polisi yang akan meningkatkan AI untuk bergerak ke depan dan keempat mengenai tadbir urus, sama ada perlukan undang-undang atau tidak dalam aspek AI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merasmikan Data Center Supply Chain Ecosystem Summit, di sini, hari ini.

Gobind Singh berkata, sebaik pelancaran Pejabat AI Kebangsaan itu, segala input mengenai keperluan indusri AI akan dikumpulkan.

“Kita perlu menyiapkan negara ini bergerak ke arah AI. Jadi, apabila dilaksanakan, kita akan lihat bagaimana aspek-aspek ini dapat diseimbangkan antara membawa kebaikan, tetapi dalam masa sama melihat risiko yang terlibat,” katanya.

Gobind Singh turut mengesahkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan membuka pejabat di daerah ini, bulan depan bertujuan membantu membawa Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) ke pasaran global.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top