Kuala Lumpur: Pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Los Angeles, Miami dan New York berada pada kedudukan yang baik untuk memperkukuh penglibatan Malaysia dalam pasaran eksport.
MATRADE berkata ia bertujuan mempertingkatkan promosi eksport melalui kerjasama strategik dengan persatuan industri serta syarikat besar seperti Amazon dan Deloitte selain melalui misi perdagangan dan juga pelaburan ke Amerika Syarikat (AS).
Ia berkata, Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) merupakan langkah penting untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia di pasaran global dengan memastikan akses yang adil dan stabil ke pasaran AS.
“Dengan memastikan kestabilan perdagangan, perjanjian ini bukan sahaja melindungi industri serta pekerjaan tempatan tetapi juga menggalakkan pengeksport Malaysia untuk menjadi lebih berdaya saing selain inovatif, selaras dengan jangkaan antarabangsa dalam bidang seperti piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Secara keseluruhannya, ART berfungsi sebagai pemangkin untuk meningkatkan kualiti produk, amalan kelestarian dan kredibiliti global eksport tempatan,” kata MATRADE dalam kenyataan.
Agensi promosi perdagangan itu berkata, selain daripada pengecualian tarif, perjanjian ini mengukuhkan kepastian peraturan dan ketahanan rantaian bekalan melalui kerjasama yang lebih mendalam bagi mempermudah perdagangan.
Katanya, ini mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai pusat pengeluaran dan pembekalan yang boleh dipercayai bagi syarikat-syarikat AS selain memberikan firma-firma Malaysia kelebihan daya saing yang jelas di dalam ASEAN.
MATRADE juga memberitahu, ART berfungsi sebagai pemangkin untuk peningkatan eksport dan mempelbagaikan pasaran, menggalakkan industri tempatan untuk meningkatkan piawaian, melabur dalam proses bernilai tambah selain mengembangkan eksport berjenama serta yang berorientasikan perkhidmatan.
“Secara keseluruhannya, perkembangan ini menyokong visi jangka panjang Malaysia untuk meningkatkan rantaian nilai global selain memperkukuh peranannya sebagai rakan dagang yang dipercayai kepada AS,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




