Pejalan kaki disaman kerana abai lampu isyarat merah

Pejalan kaki disaman kerana abai lampu isyarat merah

Singapura: Seramai 24 pejalan kaki berusia antara 20 hingga 70 tahun disaman kerana mengabaikan lampu isyarat merah di lintasan pejalan kaki.

Penguatkuasaan itu dijalankan antara 17 hingga 21 Mac lalu.

Sebagai maklum balas kepada pertanyaan dari The Straits Times pada 28 Mac, Polis Trafik (TP) menyatakan bilangan kemalangan yang membabitkan pejalan kaki yang melintas jalan secara haram (jaywalking) meningkat sebanyak 23 peratus, dari 288 kes pada 2023 kepada 353 kes pada 2024.

Gambar beberapa pejalan kaki yang dihentikan oleh TP telah dikongsi dalam satu hantaran Facebook di halaman Use Your RoadSense pada 24 Mac.

TP berkata, tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang membahayakan diri sendiri dan orang lain apabila melintas ketika lampu merah.

“Langkah ini juga bagi melindungi pemandu, yang mungkin terpaksa memberhentikan kenderaan secara mengejut atau mengambil tindakan mengelak disebabkan oleh kelakuan pejalan kaki yang tidak selamat,” menurut hantaran itu.

Mereka yang didapati bersalah kerana gagal mematuhi isyarat lampu merah di lintasan pejalan kaki akan dikenakan denda sebanyak $50, lapor The Straits Times.

Kematian dan kecederaan akibat kemalangan trafik mencapai tahap tertinggi dalam lima tahun pada 2024, dengan kelajuan berlebihan menyumbang kepada satu pertiga daripada semua kemalangan maut, menurut angka yang dikeluarkan oleh TP pada Februari.

Secara keseluruhan, 142 orang maut dalam kemalangan berkaitan trafik pada 2024, meningkat daripada 136 orang pada 2023.

Bilangan orang yang cedera dalam kemalangan juga meningkat, kepada 9,302 orang pada 2024 berbanding 8,941 orang pada 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top