am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Tindakan pejalan kaki tidak menggunakan jejantas untuk melintas Jalan Coastal berhampiran Sutera Avenue di sini, awal pagi tadi mengundang padah apabila dia maut dirempuh kereta.
Dalam kejadian jam 2.38 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan parah selepas terpelanting ke atas bumbung kenderaan itu sebelum dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an datang dari arah Centre Point menuju ke Tanjung Aru.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, ketika pemandu berada di lorong kanan dengan secara tiba-tiba seorang pejalan kaki melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan dan menyebabkan kemalangan berlaku.
“Akibat daripada kemalangan, pejalan kaki parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kasim berkata, hasil siasatan mendapati kecuaian adalah disebabkan oleh pejalan kaki yang mana telah cuai di dalam melintas jalan dan menyebabkan kemalangan berlaku.
“Di samping itu juga tidak jauh dari lokasi kejadian terdapat jejantas untuk pejalan kaki namun tidak digunakan oleh mangsa.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sehubungan itu, kasim berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.
“Pejalan kaki dinasihatkan supaya sentiasa menggunakan jejantas ataupun laluan pejalan kaki bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




