am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mempersoalkan ketelusan proses dan kebebasan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dalam membuat keputusan membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Penerangannya, Rafique Rashid, berkata walaupun undang-undang perlu dipatuhi, pelaksanaannya juga mesti dilihat adil, terutama apabila keputusan berkenaan dibuat ketika proses perundangan masih berjalan.
Beliau berkata, pada 13 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan kebenaran kepada PN untuk memulakan semakan kehakiman, manakala pendengaran permohonan penangguhan ditetapkan pada 22 Oktober ini.
“Pada 20 Oktober 2026, pendaftaran PN sudah dibatalkan. Dua hari lagi pun tidak boleh tunggu? Betul tak ada niat nak sekat hak demokrasi rakyat?
“Apa alasan undang-undang yang kukuh? Jika ada, jelaskan kepada rakyat dan pertahankan di mahkamah.
“Persoalannya bukan sekadar sama ada RoS mempunyai kuasa. Persoalannya juga bagaimana, bila dan atas alasan apa kuasa itu digunakan,” dakwanya dalam Facebook PEJUANG, hari ini.
RoS, hari ini, membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan dinyatakan dalam notis terdahulu.
Keputusan RoS itu dibuat mengikut sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta 832 selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.
Susulan itu, PN dilapor akan mencabar keputusan berkenaan, selain turut mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
PN turut mendakwa pembatalan pendaftaran gabungan itu sebagai penyalahgunaan kuasa kerajaan, yang cuba mendahului proses mahkamah.
Pada masa sama, Rafique turut menggesa Saifuddin menjelaskan mengenai kebebasan RoS dalam membuat keputusan itu bagi mengelakkan timbul persepsi bahawa tindakan berkenaan dipengaruhi kepentingan politik.
“Jika benar ROS bertindak secara bebas, tidak sepatutnya sukar untuk menjelaskan proses dan asas keputusannya, terutama apabila pembatalan dibuat ketika proses kehakiman sedang berjalan dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin hampir?
“Apakah terdapat sebarang arahan atau campur tangan politik? Jika tiada, nyatakan dengan jelas. Itu pun rakyat tahu dan faham. Bukan mudah nak bohong rakyat,” dakwanya.
Rafique turut mengkritik pendirian BERSATU yang menyalahkan kepemimpinan PAS susulan keputusan RoS, termasuk kenyataan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang menyifatkan perkembangan itu sebagai bukti kegagalan tadbir urus PN.
Beliau berkata, prinsip demokrasi, ketelusan dan hak parti komponen yang dibangkitkan BERSATU juga perlu dinilai berdasarkan tindakan serta pendirian parti itu sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




