lokman.khairi@hmetro.com.my
Lenggong: Demi membesarkan 16 anak, pasangan suami isteri asnaf dari Kampung Padang Luas, di sini, mula berniaga ikan pekasam dengan modal hanya RM40, tujuh tahun lalu.
Biarpun bermula kecil-kecilan di rumah, usaha gigih pasangan itu nyata membuahkan hasil apabila perniagaan diusahakan kini bukan sahaja mendapat sambutan malah berkembang sehingga mampu membuka kedai makan sendiri.
Jamaliah Ramli, 46, berkata, minat berniaga sudah sebati dalam dirinya sejak muda lagi dengan menjual pelbagai makanan seperti nasi lemak, nasi kerabu dan kuih-muih.
Menurutnya, idea menghasilkan pekasam tercetus apabila melihat suaminya, Zulkifli Shaari, 50, yang juga nelayan menjual ikan pada harga terlalu murah.
“Saya tengok ikan yang suami dapat itu murah sangat, jadi saya cuba jual sendiri.
“Bila ada lebihan ikan, saya belajar buat makanan tradisi orang Lenggong iaitu pekasam menggunakan ikan loma, lampam, tenggalan dan pelbagai jenis ikan sungai yang ditangkap suami.
“Banyak kali juga percubaan gagal, ada yang busuk, terlalu masin dan tidak menjadi, tapi saya terus belajar sampai berjaya hasilkan pekasam yang kena dengan selera orang tempatan,” katanya.
Jamaliah berkata, cabaran terbesar pada peringkat awal adalah memperkenalkan produk kepada pelanggan memandangkan persaingan tinggi dalam kalangan pengusaha pekasam di kawasan itu.
Namun, katanya, bantuan diterima daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam bentuk peralatan, geran serta kursus keusahawanan banyak membantu mereka bangkit daripada kesusahan.
“Suami penerima zakat. Kami dibantu dengan peralatan seperti peti sejuk, mesin pengisar dan bahan pembungkusan.
“Selepas itu ada juga bantuan tunai untuk tambah modal. Semua ini sangat membantu kami sekeluarga,” katanya.
Jamaliah berkata, dia kemudian mengikuti pelbagai kursus anjuran MAIPk sejak 2019 yang banyak membantu meningkatkan kualiti perniagaan.
“Daripada kursus itu saya belajar pemasaran, pembungkusan, pelabelan dan bagaimana hendak tambah baik produk.
“Alhamdulillah, lama-lama perniagaan semakin berkembang sampai sekarang kadang-kadang pekasam tak cukup untuk dijual,” katanya.
Jamaliah berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak dan MAIPk kerana memberi peluang kepada golongan asnaf sepertinya untuk membina kehidupan lebih baik melalui program keusahawanan.
Katanya, inisiatif itu membuktikan komitmen MAIPk sebagai agensi peneraju flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat seperti digariskan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam pelan Perak Sejahtera 2030.
Katanya, selain menjual pekasam jenama Z&R, mereka juga membuka kedai makan dikenali sebagai Rumah Makan Ikan Sungai Lenggong sejak lebih setahun lalu.
“Konsep kedai kami berbeza kerana pelanggan perlu membuat tempahan awal dan makanan dimasak segar sebelum dihidangkan.
“Kami mahu pelanggan makan hidangan panas-panas,” katanya.
Kini, katanya, perniagaan mereka mampu mencapai jualan sehingga 50 kilogram pekasam seminggu, terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.
Lebih membanggakan, hasil usaha itu bukan sahaja menyara keluarga besar mereka, malah memberi harapan untuk mengubah kehidupan ke arah lebih baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




