Kota Kinabalu : Kenaikan kadar bantuan Program Tanam Semula Getah dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam membela nasib pekebun kecil getah.
Beberapa pekebun kecil getah di Sabah menyifatkan langkah itu bukan sahaja mampu meringankan beban mereka yang semakin terhimpit akibat kenaikan pelbagai kos seperti baja, racun dan sewaan jentera hingga terpaksa membiarkan kebun tidak terurus, malah turut menyuntik kembali semangat mereka untuk terus mengusahakan kebun.
Gindol Guntunau, 58, yang juga seorang Ketua Adat Mukim Kiulu dekat sini berkata, kenaikan kadar bantuan itu membolehkannya menggantikan pokok getah tua berusia kira-kira 20 tahun di kebun seluas 2.5 hektar miliknya.
Beliau berkata, komoditi itu menjadi tunjang ekonomi masyarakat setempat, dengan majoriti penduduk di Kiulu bergantung sepenuhnya kepada hasil torehan getah serta pelbagai aktiviti berasaskan industri getah yang lain sebagai sumber kelangsungan hidup.
“Namun, dengan kenaikan kos baja, racun dan upah jentera pembersihan tanah sekarang ini, hasrat untuk menebang pokok lama dan menanam semula terpaksa ditangguhkan oleh penduduk kampung kerana bajet tidak mencukupi.
“Kenaikan kepada RM23,000 sehektar ini amat melegakan hati kami. Ikutkan harga barang pertanian sekarang, kadar lama memang tidak memadai tetapi dengan kadar baharu ini, saya dan penduduk kampung bersemangat untuk membersihkan kawasan dan membeli anak benih lebih berkualiti,” katanya kepada Bernama.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bantuan Tanam Semula Getah di Sabah dinaikkan daripada RM14,955 sehektar kepada RM23,000 sehektar, iaitu peningkatan RM8,045 sehektar.
Pekebun getah dari Bomboi, Keningau, Ranai Koroh, 57, turut menyifatkan pengumuman kerajaan itu menamatkan kebuntuan untuk memulihkan kebun getah miliknya seluas dua hektar yang kini sudah tidak diusahakan kerana tidak lagi ekonomik.
“Keadaan bentuk muka bumi kebun yang agak berbukit memerlukan kos yang tinggi untuk penebangan, pembersihan dan pembinaan teres. Jadi, niat untuk tanam semula terpaksa dipendam berikutan kadar bantuan lama yang tidak mencukupi untuk menampung kos, terutama jentera,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif bermakna itu bukan sahaja bakal memulihkan aliran pendapatannya, malah menjamin tanah peninggalan keluarga dapat diwariskan kepada generasi akan datang dalam keadaan yang jauh lebih produktif.
Ammar Assegaf, 61, dari Merotai, Tawau pula berkata, bantuan berkenaan hadir tepat pada masanya ketika kebun seluas kira-kira tiga hektar yang ditanam pada awal 2000 kini berdepan kemerosotan hasil susu getah yang ketara, sehingga tidak lagi setimpal dengan tenaga yang dicurahkan untuk menoreh setiap pagi.
Ammar berkata, beliau terpaksa membiarkan sebahagian kebunnya dipenuhi semak samun kerana kekangan modal untuk melaksanakan penanaman semula susulan peningkatan kos pembersihan ladang serta pembelian benih baharu.
“Dengan bantuan RM23,000 ini, saya nampak sinar baharu untuk kebun saya. Kadar lama hanya cukup-cukup makan untuk tebang dan bersihkan tanah, belum dikira kos baja dan penjagaan anak pokok yang mengambil masa bertahun sebelum boleh ditoreh,” katanya.
Katanya, kemudahan bayaran bantuan yang diagihkan secara ansuran pula amat membantunya menyusun strategi kewangan jangka panjang sambil dibimbing agensi berkaitan, antaranya Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Sementara itu, RISDA Sabah dalam kenyataan mengajak pekebun kecil getah di negeri itu supaya memanfaatkan bantuan berkenaan menerusi kempen ‘Jom Tanam Getah Bersama RISDA’ bagi memulihkan kebun getah masing-masing.
“Pekebun yang berminat boleh menghubungi terus Pejabat RISDA berhampiran seperti di daerah Sandakan, Tawau serta stesen-stesen di Telupid, Tongod dan Paitan untuk sebarang pertanyaan lanjut,” menurut kenyataan itu.
RISDA Sabah memaklumkan bantuan itu disalurkan menerusi lima ansuran dan ansuran pertama berjumlah RM12,100, dengan RM3,500 dikhususkan untuk menampung kos kerja menebang serta membersihkan kawasan kebun menggunakan jentera manakala ansuran kedua hingga keempat sebanyak RM2,700 dan kelima RM3,500.
© New Straits Times Press (M) Bhd




