am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, meneruskan kawalan dan pemantauan di kawasan sekitar Kampung Basung, selepas seorang pekebun maut diserang gajah liar dalam kejadian pagi tadi.
Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, sebaik menerima laporan berhubung kehilangan Musa Ahmad, 65, pihaknya turut terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat warga emas berkenaan.
Menurutnya, sejak minggu lalu pihaknya sudah membuat kawalan dan pemantauan terhadap kumpulan gajah berkenaan dengan menggunakan kaedah menembak bagi menghalau mamalia berkenaan ke hutan.
Katanya, bagaimanapun kawasan terbabit luas dan gajah yang dihalau ke hutan akan kembali ke kebun dan penempatan penduduk untuk mendapatkan makanan.
“Nak tangkap tidak sesuai selain kedudukan kebun berhampiran hutan dan Perhilitan sendiri pernah menangkap beberapa ekor gajah liar sebelum ini di kawasan berhampiran kampung itu.
“Kita (Perhilitan) amat sedih dengan kejadian ini dan pemantauan sentiasa dilakukan selain operasi menghalau gajah terbabit masih berjalan,” katanya.
Menurutnya, sekiranya kaedah halau tidak berkesan pihaknya akan mempertimbangkan untuk menangkap dan memindahkan gajah itu ke kawasan lain.
Katanya, untuk rekod hingga September tahun ini, lima operasi pemindahan gajah sudah dijalankan di negeri ini membabitkan gajah yang menceroboh penempatan dan mengganggu penduduk kampung.
Beliau berkata, pihaknya menasihati penduduk yang terjejas akibat gangguan haiwan liar terutama gajah supaya segera melaporkan kepada Perhilitan.
“Lapor secepat mungkin memudahkan pihak kami untuk mengambil tindakan segera berikutan haiwan itu bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
“Kita juga menasihati pekebun tidak ke kebun secara berseorangan kerana ini bukan soal gajah saja, malah harimau pun sama.
“Kalau boleh ke kebun dua atau tiga orang kerana kawasan berkenaan terdedah dengan hidupan liar,” katanya.
Menurutnya, sukar untuk diklasifikasikan selamat atau tidak kawasan berkenaan kerana ia luas namun kakitangan Perhilitan masih melakukan pemantauan di kawasan itu.
Katanya, pihaknya sudah menziarahi keluarga mangsa selain memaklumkan mengenai tabung serangan haiwan buas kepada waris.
Terdahulu Harian Metro melaporkan Allahyarham Musa yang hilang sejak semalam dan mayatnya ditemukan pagi tadi dipercayai diserang sekumpulan gajah liar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




