Pekerja asing untung terima kenaikan gaji minimum

Pekerja asing untung terima kenaikan gaji minimum

fahmy.azril@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyifatkan pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 tidak akan memanfaatkan pekerja tempatan, sebaliknya lebih ‘menguntungkan’ pekerja asing di negara ini.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsudin Bardan, berkata pekerja asing yang lebih ramai dalam pasaran buruh negara, terutama di peringkat bawahan akan menggunakan ‘lebihan’ gaji diterima untuk dihantar ke negara asal masing-masing.

Keadaan itu, katanya, langsung tidak mengundang faedah yang baik untuk negara kerana ia dilihat tidak membantu merancakkan ekonomi domestik.

“Ramai orang katakan bahawa kalau kita naikkan gaji minimum, semua warganegara Malaysia akan menerima manfaat yang baik. Tetapi saya berasakan pandangan berkenaan tidak begitu tepat kerana kita tahu gaji minimum adalah untuk mereka yang di peringkat bawahan.

“Siapa sebenarnya yang akan mendapat faedah daripada peningkatan gaji minimum. Kalau kita lihat satu kajian pada 2018 mengenai impak peningkatan gaji minimum ketika itu, boleh dikatakan dapatan kajian mengatakan 1.8 juta telah mendapat faedah.

“Kalau kita lihat pada 2018, ada kira-kira lebih dua juta pekerja asing di Malaysia ketika itu. Jadi sebenarnya mereka yang mendapat faedah daripada peningkatan gaji minimum adalah rata-rata pekerja asing.

“Pekerja asing ini, adakah mereka akan menggunakan wang lebihan yang mereka dapat itu untuk merancakkan ekonomi kita? Saya dapati tidak, kerana pekerja asing ini kalau berlaku sebarang peningkatan gaji minimum akan hantar wang ke luar negara (negara asal),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis program bual bicara Minda Profesor Negara bertajuk Gaji Minimum di Malaysia: Apa Kesudahannya? anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) secara dalam talian, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai jumlah wang dihantar pekerja asing ke negara luar, Shamsudin berkata, berdasarkan pengiraan pihaknya, ia boleh mencapai sehingga RM70 bilion sama ada melalui saluran penghantaran wang diiktiraf kerajaan atau menerusi platform pasaran gelap.

Beliau berkata, sekiranya jumlah itu dapat dikekalkan dalam pasaran ekonomi negara, ia sekali gus dapat merancakkan kegiatan ekonomi.

“Ketika ini kita tahu, berdasarkan rekod yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM), pekerja asing menghantar kira-kira RM34 bilion setiap tahun ke negara asal dan itupun adalah berdasarkan kepada penghantaran wang yang dikira sebagai rasmi iaitu melalui saluran diiktiraf kerajaan.

“MEF sendiri telah membuat pengiraan, jika kita meningkatkan kadar gaji minimum dengan RM100, jumlah tambahan penghantaran wang yang akan dihantar oleh pekerja asing ke negara asalnya kira-kira RM4 bilion setahun.

“Bayangkan kalau kita tingkatkan (gaji) sehingga RM1,500, bermakna tambahan penghantaran wang ke luar (negara) kira-kira RM12 bilion sehinggalah RM16 bilion setahun. Itu adalah kesan kalau kita nak sangat untuk tingkatkan gaji minimum,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,500 tidak sesuai dilakukan kerana majikan bukan sahaja dihimpit tekanan akibat penularan COVID-19, malah terjejas teruk dengan bencana banjir terutama di Lembah Klang yang dianggap nadi ekonomi negara.

Beliau juga bimbang sekiranya gaji minimum baharu dilaksanakan, ia juga boleh memberi kesan kepada pengguna apabila kos tambahan yang perlu ditampung majikan terpaksa disalurkan kepada pengguna, sekali gus situasi itu dapat memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup.

“Kalau kita lihat keadaan pertumbuhan ekonomi kita dan produktiviti memang kita turun. Ini adalah senario yang kita alami untuk melihat adakah majikan akan mampu untuk membayar RM1,500 jika kerajaan mengatakan bahawa ia bukan pilihan tetapi ketetapan.

“Kita rasakan bahawa masanya itu tidak sesuai. Kalau diikutkan sekarang, syarikat memerlukan subsidi dan insentif untuk bernafas dan terus beroperasi. Itu pun mereka masih tercungap-cungap, apatah lagi dengan pelaksanaan gaji minimum,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd