Pekerja dipecat selepas halang pencuri

Pekerja dipecat selepas halang pencuri
Pekerja dipecat selepas halang pencuri

Insiden itu berlaku di sebuah premis Waitrose di Clapham Junction, selatan London. Gambar kecil: Smith. – Agensi

LONDON – Seorang pekerja pasar raya di Waitrose dipecat selepas bertindak menghalang seorang pencuri, sekali gus menamatkan kerjayanya selama 17 tahun.

Menurut laporan NDTV yang memetik akhbar Metro, lelaki berusia 54 tahun dikenali sebagai Walker Smith itu memberitahu insiden berlaku di cawangan Clapham Junction apabila seorang pelanggan memaklumkan mengenai seorang lelaki yang mengisi beg dengan coklat Easter.

Smith yang mengenali suspek sebagai pesalah berulang bertindak merampas beg tersebut.

Bagaimanapun, berlaku sedikit pergelutan apabila pencuri cuba mendapatkan semula barangan itu sehingga beg terkoyak dan coklat bertaburan di lantai sebelum suspek melarikan diri.

Lelaki itu mengakui bertindak membaling cebisan coklat kerana kecewa, namun menegaskan ia tidak ditujukan kepada sesiapa.

Menurut Smith, dia sebelum ini telah diberi amaran supaya tidak berdepan dengan pencuri, namun kekerapan kejadian kecurian serta kekurangan kakitangan keselamatan mendorongnya untuk bertindak.

Beberapa hari selepas insiden itu, Smith dipanggil menghadiri mesyuarat sebelum dimaklumkan bahawa perkhidmatannya ditamatkan.

Walaupun telah memohon maaf dan menyifatkan tempat kerja itu seperti keluarga sendiri, keputusan tersebut kekal.

Kini, Smith berdepan kebimbangan untuk membayar sewa rumah selepas baru berpindah ke kediaman sendiri.

Kes itu turut mencerminkan peningkatan jenayah runcit di United Kingdom, dengan lebih 500,000 kes mencuri dilaporkan di England dan Wales dalam tempoh setahun lalu.

Pihak Waitrose dalam kenyataannya menjelaskan bahawa dasar syarikat bertujuan melindungi keselamatan kakitangan dan pelanggan, dan pekerja perlu mematuhi peraturan termasuk tidak meletakkan diri dalam situasi berbahaya.

Scroll to Top