Pekerja industri kreatif dakwa dianiaya majikan

Pekerja industri kreatif dakwa dianiaya majikan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu mengabaikan kebajikan pekerja industri kreatif bukan perkara baharu malah dikatakan berlaku hingga ke hari ini.

Ia menghantui kelompok pekerja kreatif di sebuah pengurusan radio di negara ini yang mendakwa polisi baharu dikeluarkan pengurusan syarikat mereka untuk membayar gaji penyampai radio sambilan serendah RM17 sejam berbanding RM45 sebelum ini.

Kadar bayaran rendah seperti ini dilihat sebagai satu penganiayaan terhadap insan yang mencari rezeki secara halal sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana penghargaan diberikan kepada tenaga kerja yang menyumbang kepada hiburan dan informasi masyarakat.

Menurut sumber dikenali Izzati (bukan nama sebenar), dia terkejut dengan ketetapan bayaran perkhidmatan tenaga kreatif oleh pihak pengurusan itu selain syarat-syarat tidak masuk akal yang wajib dipatuhi.

“Notis pemakluman bayaran baharu kepada penyampai radio diberikan pada saat-saat akhir dan perlu membuat persetujuan dalam tempoh singkat. Bayangkan selama ini kami menerima bayaran RM40 hingga RM50 sejam, kini hanya RM17 sejam.

“Perubahan kadar bayaran ini adalah satu penganiayaan kepada kami yang berkhidmat sebagai penyampai radio. Kita sudah berada di tahun 2025, tapi kadar bayaran masih berada di tahap lemah.

“Kami juga terpaksa mematuhi syarat-syarat lain yang dibuat seperti perlu berada di pejabat selama sembilan jam selepas ke udara bagi membuat kerja penerbitan.

“Malah jawatan disandang untuk bayaran RM17 ini bukan lagi penyampai radio, tetapi difahamkan sebagai penerbit radio,” katanya kepada Harian Metro.

Izzati berkata, notis pemakluman itu sepatutnya diberikan lebih awal supaya penyampai radio dapat membuat persediaan awal bukannya dalam notis singkat.

Sementara itu, Amir (bukan nama sebenar) pula menyifatkan peraturan baharu itu memberi tekanan hidup kepada penyampai radio yang masih ingin berbakti kepada kerjaya yang mereka cintai.

“Sudahlah kerjaya kami ini tidak mendapat sebarang kelebihan daripada radio terbabit atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun tenaga dan keringat kami diperah habis-habisan.

“Disebabkan itu, ramai yang ‘angkat kaki’ kerana tidak tahan dengan syarat bayaran baharu ini dan mereka terpaksa mencari kerja lain.

“Ada di antara mereka yang masih buntu untuk meneruskan hidup selain ada yang terpaksa menerima kerana tiada pilihan,”katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top