Pekerja kedai cuci parah, kereta terjunam dari tingkat 3 parkir,

Pekerja kedai cuci parah, kereta terjunam dari tingkat 3 parkir,

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pekerja kedai cuci kenderaan parah selepas kereta pelanggan yang dipandunya melanggar tembok dan terjunam dari tingkat tiga kawasan parkir sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini, hari ini.

Lelaki warga Afghanistan berusia 23 tahun itu dipercayai mahu mengalihkan kereta Toyota Camry berkenaan sebelum kecelakaan berlaku.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, polis menerima laporan kejadian pada 5.38 petang.

“Siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai pencuci kereta itu dipercayai tersilap menekan pedal minyak semasa mahu meletakkan kenderaan milik pelanggan sebaik selesai dicuci.

“Akibatnya kenderaan itu melanggar pagar besi dan terjatuh dari tingkat tiga sebelum menghempap dua kereta lain iaitu Proton Iriz dan Perodua Myvi yang diparkir di bangunan berkenaan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua pemilik kereta berkenaan bagaimanapun tiada di dalam kenderaan mereka ketika kejadian berlaku.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top