Pekerja kuari tertimbus, 3 rakan cedera

Pekerja kuari tertimbus, 3 rakan cedera

Kuantan: Seorang pekerja kuari dilaporkan tertimbus dalam kejadian runtuhan batu di Kuari IJM, Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub pada 12.50 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, mangsa Mohammad Fazrul Illahi Ab Rahman, 30, yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan sedang mengendalikan jentera pengorek sebelum dihempap runtuhan batu dari kawasan bukit berhampiran.

“Mangsa dipercayai sempat melompat keluar daripada jentera yang dipandunya, sebelum dihempap dan tertimbus. Radius kawasan yang tertimbus dianggarkan 300 meter, manakala kedalaman kawasan tertimbus belum diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiga lagi pekerja warga asing mengalami kecederaan ringan dan kini dirawat di Hospital Raub.

Mohd Shahril berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada semalam yang membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pelbagai agensi lain berdepan kesukaran berikutan masih berlaku pergerakan tanah.

“Pasukan Bomba memohon bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM yang dijangka memulakan operasi mengesan mangsa hari ini. SAR pada hari pertama ditangguhkan 7.30 malam kerana keadaan lokasi yang gelap,” katanya.

Operasi SAR diteruskan 8 pagi hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top