Pekerja lemas ditemukan terapung di Sungai Perak

Pekerja lemas ditemukan terapung di Sungai Perak

Ipoh: Seorang lelaki ditemukan lemas dalam keadaan terapung di Sungai Perak berhampiran sebuah kapal sedut pasir, kira-kira 800 meter (m) dari lokasi dia dilaporkan terjatuh di bengkel membaiki kapal di Batu 8, Jalan Maharajalela, Teluk Intan, kira-kira 88 kilometer dari sini, malam ini.

Mangsa, Neoh Jun Jie, 24, yang bekerja sebagai pengikat tayar di kapal kargo, dipercayai terjatuh ketika melakukan kerja pemasangan tayar di sisi kapal yang sedang dibaiki, kira-kira 10 m dari tebing sungai.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada nelayan mengenai penemuan mayat mangsa pada 9.18 malam.

“Mangsa berjaya dibawa ke tebing tempat selamat pada 9.58 malam dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi dikawal pada 9.50 malam dan tamat sepenuhnya pada 10.40 malam,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 4.20 petang semalam dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) dimulakan pada 4.41 petang.

“Bagaimanapun, operasi SAR terpaksa ditangguhkan pada 7.15 malam semalam sebelum bersambung semula pada 8 pagi tadi. Antara langkah yang dilaksanakan termasuk selaman oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), penggunaan konsep LAST serta pencarian di permukaan air,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top