bhnews@bh.com.my
LIPIS: Seorang pekerja lombong maut apabila Toyota Hilux yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 22, Jalan Lipis-Merapoh di Persimpangan CSR, berdekatan Ladang Selborne, malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Ng Kong Yuen, 40, dari Kampung Baru, Padang Tengku, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya, Ng Haw Min, lima tahun, terselamat dan hanya luka ringan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata ketika kejadian jam 9.10 malam, lampu isyarat di prsimpangan itu tidak berfungsi dan hanya berkelip lampu kuning sebagai tanda amaran.
Katanya, ketika treler membelok ke susur masuk CSR di sebelah kanan, sebuah Toyota Hilux datang dari arah bertentangan telah melanggar bahagian hadapan treler itu.
“Akibat kemalangan, pemandu Toyota Hilux maut di tempat kejadian dan penumpang iaitu anaknya, hanya luka di badan.
“Pemandu treler berusia 38 tahun tidak cedera,” katanya di sini, hari ini.
Azli berkata, akibat pertembungan itu, Toyota Hilux remuk di bahagian sisi sebelah pemandu manakala treler yang membawa muatan barangan projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) kemek di bahagian hadapan.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat selepas ujian calitan COVID-19 diperoleh.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd