Pekerja maut selepas jatuh dari ketinggian 7 m semasa kerja mengecat

Pekerja maut selepas jatuh dari ketinggian 7 m semasa kerja mengecat

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang pekerja am maut selepas terjatuh dari ketinggian tujuh meter (m) ketika melakukan kerja kerja mengecat struktur besi di sebuah tapak pembinaan di Klang, kelmarin.

Dalam kejadian 11.45 pagi itu, lelaki warga tempatan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada hari sama dan menghantar pegawai penyiasat ke lokasi untuk menjalankan siasatan awal.

“Siasatan awal mendapati mangsa adalah pekerja subkontraktor yang bertugas sebagai pekerja am.

“Mangsa maut akibat terjatuh dari ketinggian tujuh m semasa melakukan kerja-kerja mengecat struktur besi bangunan menggunakan platform perancah jenis ‘A-frame’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

JKKP Selangor berkata, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi tindakan lanjut.

Pada masa sama, Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu dikeluarkan di lokasi kejadian kepada pihak majikan untuk menghentikan serta-merta aktiviti kerja di tempat tinggi di tapak pembinaan itu sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Notis larangan turut dikeluarkan atas kegagalan pihak majikan mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja di tempat tinggi.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top