am@hmetro.com.my
Georgetown: Pekerja penyelenggaraan maut selepas kepalanya tersepit pada pintu lif di sebuah kompleks beli belah di Jalan Burma, di sini hari ini.
Sebelum itu, mangsa R Tinesh Kumar, 28, dikatakan mahu memeriksa keadaan lif yang mengalami kerosakan selepas ia tiba-tiba berhenti di antara tingkat satu dengan aras lantai.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, Ahmad Rezki Faris Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.45 petang.
Katanya, sebaik tiba didapati seorang lelaki berada dalam keadaan kepalanya tersepit pada pintu lif dan tidak sedarkan diri.
“Di dalam lif berkenaan terdapat seorang penumpang yang juga lelaki berusia 53 tahun.
“Pasukan penyelamat kemudian melakukan tugas khas mengeluarkan kedua-dua mangsa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini.
Ahmad Rezki berkata, operasi menyelamatkan penumpang dan mengeluarkan mangsa mengambil masa kira-kira 10 minit.
Katanya, mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan kes diserah kepada polis bagi tindakan lanjut.
“Penumpang lif itu tidak mengalami kecederaan dan operasi tamat jam 5.56 petang,” katanya.
Ahmad Rezki berkata, difahamkan lif yang dinaiki penumpang lelaki itu berhenti di antara tingkat satu dengan aras bawah.
“Tinesh yang bertugas pada masa itu, dikatakan datang ke lokasi bagi memeriksa keadaan sebelum tiba-tiba lif terbabit bergerak turun.
“Akibatnya, kepala mangsa tersepit pada pintu berkenaan,” katanya
© New Straits Times Press (M) Bhd
