Pekerja perancang perkahwinan diburu polis, larikan deposit lapan bakal pengantin lebih RM17,000

Pekerja perancang perkahwinan diburu polis, larikan deposit lapan bakal pengantin lebih RM17,000

am@hmetro.com.my

Jasin: Kelicikan seorang pekerja perancang perkahwinan menipu akhirnya memakan diri apabila dia kini diburu polis selepas dipercayai melarikan wang deposit pelanggan mencecah lebih RM17,000.

Wanita berusia 27 tahun itu didakwa memperdayakan sekurang-kurangnya lapan bakal pengantin di Merlimau dengan menawarkan pakej perkahwinan sebelum menghilangkan diri bersama bayaran deposit yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya menerima sembilan laporan polis berhubung kes itu termasuk daripada majikan suspek.

Menurutnya, berdasarkan laporan wanita itu berurusan secara bersemuka dengan mangsa menggunakan kapasiti sebagai pekerja syarikat perancang perkahwinan, namun bertindak mengarahkan bayaran dibuat ke akaun sendiri tanpa pengetahuan majikan.

“Setakat ini, lapan mangsa dikenal pasti dengan jumlah kerugian mencecah RM17,800, namun jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana terdapat laporan lain dibuat di Melaka Tengah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, kes berkenaan sudah dirujuk kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan selepas wanita itu gagal dihubungi, malah ahli keluarga serta majikannya juga tidak mengetahui keberadaannya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top