am@hmetro.com.my
Tawau: Pekerja pusat cuci kereta ditahan selepas dipercayai mencuri dompet pelanggan berisi wang tunai bernilai lebih RM10,000, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 19 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 pagi selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki sejumlah wang tunai serta dua telefon bimbit.
“Hasil siasatan lanjut, suspek mengaku mencuri dompet pelanggan ketika bekerja di pusat cuci kereta dekat Jalan Apas, pada Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jasmin berkata, suspek adalah warga asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, antara barang dirampas wang tunai dengan keseluruhan berjumlah RM10,902.00, dua telefon bimbit dan beg silang.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai kesalahan lampau namun siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti pembabitan suspek dalam kes lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd