PEKERTI MBDK iktiraf Kecemerlangan anak-anak ahli

PEKERTI MBDK iktiraf Kecemerlangan anak-anak ahli

Klang: Seramai 77 anak-anak ahli Pertubuhan Kebajikan Pekerja-pekerja Islam (PEKERTI) Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menerima ganjaran daripada Skim Kecemerlangan Pelajar 2023-2024 bagi peperiksaan dan memperoleh keputusan cemerlang di peringkat diploma serta ijazah masing-masing.

Yang Di Pertua PEKERTI MBDK, Muhammad Azlan Abdul Malek berkata, skim berkenaan adalah pengiktirafan pertubuhan itu yang sentiasa meletakkan kecemerlangan anak-anak ahli sebagai teras utama penubuhannya.

Menurutnya, inisiatif ini bertujuan mengiktiraf kecemerlangan anak-anak ahli dalam bidang akademik dan kokurikulum, sekali gus memberi galakan kepada generasi muda untuk terus mencapai kejayaan.

“Pemberian insentif kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan di pelbagai peringkat mampu meningkatkan lagi semangat dan motivasi mereka dalam pelajaran.

“Ia secara tidak langsung turut menyedarkan pelajar bahawa usaha mereka memburu kejayaan sentiasa dihargai oleh PEKERTI melalui sokongan padu Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd Hamid Hussain kepada kami,” katanya.

Tambah Azlan, pihaknya turut menyatakan komitmen untuk meningkatkan jumlah insentif kepada pelajar-pelajar antaranya untuk Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA), Sekolah Menengah Agama (SMA), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta bagi peringkat diploma dan Ijazah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top