Pelaburan bakat perkukuh masa depan industri insurans dan takaful

Pelaburan bakat perkukuh masa depan industri insurans dan takaful

Kuala Lumpur: Dalam landskap ekonomi yang semakin kompleks dan dipacu teknologi, pembangunan bakat secara tersusun kini menjadi keutamaan strategik dalam kalangan syarikat korporat bagi memastikan daya saing jangka panjang terus terpelihara.

Bagi MNRB Holdings Berhad (MNRB), pelaburan dalam modal insan bukan sekadar inisiatif sokongan, sebaliknya sudah berkembang sebagai teras penting strategi perniagaan.

Melalui program biasiswa yang diperkenalkan sejak 1998, syarikat ini membina aliran bakat berkemahiran tinggi khusus untuk memenuhi keperluan industri insurans dan takaful negara. 

Sehingga kini, sebanyak RM19.8 juta telah disalurkan, memberi manfaat kepada 736 pelajar di seluruh negara.

Inisiatif ini bukan sahaja membuka akses pendidikan tinggi, malah berfungsi sebagai mekanisme pembangunan bakat yang tersusun dan berimpak tinggi.

Pelaburan bakat perkukuh masa depan industri insurans dan takaful

Interim Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Holdings Berhad, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin, berkata program berkenaan dirangka dengan matlamat serampang dua mata memperluas akses pendidikan dan pada masa sama menyokong pembangunan mampan Industri.

“Pendekatan ini membolehkan kami mengenal pasti dan membentuk bakat sejak peringkat awal, sekali gus memastikan kesesuaian kemahiran dengan keperluan operasi syarikat,” katanya.

Menurut beliau, strategi tersebut turut membantu organisasi mengurus bekalan tenaga kerja secara lebih proaktif, berbanding bergantung sepenuhnya kepada pengambilan tenaga kerja dari pasaran terbuka yang sering terdedah kepada ketidaktentuan dari segi kos dan ketersediaan.

Program itu turut menggabungkan penajaan akademik dengan latihan industri, bimbingan profesional serta laluan pembangunan kerjaya yang jelas.

Hasilnya, graduan yang dilahirkan bukan sahaja memiliki keupayaan teknikal, malah bersedia untuk memasuki alam pekerjaan.

Bidang pengajian yang ditawarkan juga disesuaikan dengan keperluan semasa dan masa depan industri, termasuk sains aktuari, sains data, kecerdasan buatan, undang-undang, pengurusan risiko, Syariah serta kejuruteraan.

Malah, penekanan terhadap bidang seperti sains alam sekitar dan geologi turut mencerminkan keperluan industri dalam menangani isu kemampanan dan risiko perubahan iklim.

Dalam memastikan pulangan terhadap pelaburan, program ini turut dilengkapi dengan struktur ikatan perkhidmatan.

Lebih 90 peratus penerima biasiswa menyertai MNRB selepas tamat pengajian, sekali gus menyokong kesinambungan tenaga kerja dan mengurangkan kos pengambilan baharu.

Potensi lanjut pengajian

Pada masa sama, inisiatif ini memberi impak sosial yang signifikan apabila kira-kira separuh daripada biasiswa disalurkan kepada pelajar daripada golongan B40 dan M40.

Pendekatan ini membuka peluang kepada lebih ramai pelajar berpotensi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Pemilihan penerima tidak hanya berasaskan kecemerlangan akademik, sebaliknya turut mengambil kira aspek kepimpinan, kebolehsuaian serta penglibatan kokurikulum, selaras dengan tuntutan dunia pekerjaan masa kini.

Sambutan terhadap program ini juga terus meningkat, dengan purata 220 permohonan diterima setiap tahun dalam tempoh lima tahun lalu, sebelum melonjak kepada lebih 600 permohonan bagi kitaran terkini.

Bagi tahun 2026, MNRB menyasarkan pemberian 20 biasiswa, termasuk lima di bawah inisiatif Lestari Cemerlang, dengan peruntukan sekitar RM680,000.

Permohonan sudah dibuka sejak 31 Januari lalu dan akan ditutup pada 13 April ini.

Bagi masa hadapan, MNRB merancang memperluas skop program ini melalui penambahan bidang pengajian serta pengukuhan kerjasama dengan institusi akademik dan rakan industri, termasuk menerusi program berkembar yang memberi pendedahan di peringkat antarabangsa.

Dalam suasana persaingan mendapatkan bakat yang semakin sengit, pendekatan pembangunan bakat secara strategik dilihat sebagai pemacu utama kelestarian organisasi.

Usaha MNRB ini mencerminkan komitmen jangka panjang dalam memperkukuh ekosistem tenaga kerja, sejajar dengan keperluan industri yang sentiasa berkembang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top