PARIS: Pihak berkuasa Perancis menahan seorang suspek berusia 14 tahun pada Isnin selepas seorang pengetua sekolah menengah dan seorang guru ditembak menggunakan senapang memburu, menurut polis dan pendakwa raya.
Seorang lagi individu terkena tembakan yang mengakibatkan kecederaan ringan dalam kejadian di bandar Aubagne, selatan Perancis berhampiran Marseille, manakala pengetua dan guru berkenaan tidak berada dalam keadaan kritikal, menurut polis.
Pelaku melepaskan beberapa das tembakan di dalam sekolah itu sebelum kakitangan berjaya menahan remaja berkenaan dan pihak penguat kuasa undang-undang tiba di lokasi, lapor stesen televisyen France 3.
Memuatkan artikel berkaitan…
Menteri Pendidikan, Edouard Geffray berkata di X bahawa seorang pelajar di sekolah Joseph-Lakanal disyaki melakukan tembakan itu.
“Perbuatan yang tidak boleh diterima ini sekali lagi membuktikan peningkatan keganasan yang tidak terkawal dalam masyarakat kita, yang perlu ditentang oleh kita semua,” katanya di X.
Pejabat pendakwa raya Marseille mengesahkan penahanan itu, tetapi tidak memberikan maklumat lanjut.
Pejabat Perdana Menteri berkata, menteri dalam negeri dan menteri pendidikan sedang menuju ke lokasi kejadian.
Pihak berkuasa berkata, kejadian itu dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan demonstrasi pelajar sekolah menengah atas yang melanda Perancis sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
“Sekolah menengah rendah itu tidak terjejas oleh demonstrasi pelajar sekolah menengah atas,” kata polis kepada AFP.




