Melaka: Cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya tidak menghalang Nur Umairah Mohd Desa, 20, untuk terus berusaha sehingga berjaya meraih keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Anak keempat dari lima beradik itu terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika menaiki motosikal pulang dari sekolah di Perlis bersama rakannya pada Ogos tahun lepas iaitu hanya beberapa minggu sebelum peperiksaan semester dua bermula.
Kejadian itu juga menyebabkan beliau berdepan kekangan masa untuk mengulang kaji pelajaran dan terpaksa menduduki peperiksaan dalam keadaan menahan kesakitan selain mendapat keputusan kurang memuaskan pada semester itu.
“Dalam masa yang sama ketika itu juga, keluarga saya berdepan masalah peribadi selain kami perlu berpindah dari Perlis ke Melaka dan tinggal bersama kakak di Masjid Tanah.
“Ia bukan mudah, apatah lagi rakan-rakan dan guru-guru di Perlis sudah dianggap seperti keluarga sendiri selain mereka banyak membantu menjaga (saya) sementara saya selesai peperiksaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Baru di sini hari ini.
Nur Umairah antara pelajar cemerlang yang diraikan pada Majlis Apresiasi STPM Peringkat Negeri Melaka 2024 yang disempurnakan Pengarah Pendidikan Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.
Gadis itu berkata segala kesukaran yang dihadapi tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian dalam aliran sains sosial di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin, Masjid Tanah selepas berpindah.
“Saya pernah rasa putus asa kerana keputusan peperiksaan semester dua kurang baik, tetapi guru dan keluarga tidak pernah berhenti beri semangat, itu yang buat saya terus kuat untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga dapat keputusan cemerlang,” katanya.
Menurut Nur Umairah sebelum ini dia memperoleh keputusan 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pernah ditawarkan tempat ke universiti awam serta program matrikulasi namun dia memilih untuk menyambung pengajian ke Tingkatan Enam.
“Saya memang minat Tingkatan Enam sebab nampak lebih banyak peluang terbuka untuk sambung pengajian ke peringkat ijazah selain dapat sokongan penuh daripada keluarga,” katanya.
Beliau berkata setiap hari dia memperuntukkan empat hingga lima jam sahaja untuk tidur kerana mahu fokus kepada ulang kaji selain membuat latihan soalan peperiksaan lepas sehingga benar-benar faham dan mampu menjawab dengan tepat.
Katanya dengan keputusan itu, dia berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu di Universiti Sains Malaysia (USM) dan seterusnya bergelar seorang guru.
© New Straits Times Press (M) Bhd