Pelajar jatuh jambatan gantung ketika cari akses internet waktu malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Sabah: Tiga pelajar dilaporkan terjatuh dari jambatan gantung ketika mencari akses internet untuk mengikuti kelas dalam talian di Kampung Gusi, Ranau, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 9 malam melibatkan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut.

Beliau memaklumkan, seorang pelajar patah kaki dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu.

“Difahamkan ketika kejadian semua pelajar itu cuba mencari liputan internet di atas jambatan berkenaan yang kemudiannya runtuh.

“Saya akan segera ke kampung itu untuk menilai keadaan dan memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi membaiki jambatan itu. Kami harap penduduk dapat bersabar kerana kita berusaha menyelesaikan masalah ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang.

Terdahulu, tular di Facebook mengenai pelajar SMK Ulu Sugut terjatuh ke dalam sungai selepas jambatan gantung dilalui mereka, tiba- tiba runtuh.

Difahamkan, kawasan sekitar jambatan gantung dengan ketinggian kira-kira 18 meter dari aras sungai itu satu-satunya lokasi yang mempunyai capaian internet.

Sudah menjadi kebiasaan bagi penduduk kampung, khususnya pelajar berkumpul di kawasan terbabit sekiranya memerlukan jaringan internet.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Ulu Sugut, Ratimin Kukunut, berkata dia dimaklumkan kejadian itu berlaku beberapa hari lalu, sekitar jam 9 malam.

“Penduduk kampung memaklumkan semua pelajar itu berada di tengah-tengah jambatan untuk mengikuti kelas dalam talian sebelum ia runtuh.

“Liputan internet di ini memang teruk, ia ia lebih baik pada waktu malam di kawasan jambatan gantung berkenaan,” katanya.

 

ZA137 Malay News

National Desk