Kuala Lumpur: Polis sudah memanggil dan merakam keterangan empat saksi yang juga rakan kepada pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang parah akibat terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, keterangan saksi yang juga pelajar lelaki sekolah itu penting bagi mengetahui kejadian berkenaan kerana mereka berada bersama mangsa sebelum tragedi malang itu berlaku.
Beliau berkata, berdasarkan dapatan awal diperoleh, dipercayai kejadian pelajar itu terjatuh bukan bersifat buli, namun siasatan lanjut polis masih diteruskan bagi memastikan keadilan.
“Kita sudah memanggil empat pelajar yang juga rakan yang ada bersama-sama mangsa sebelum dia terjatuh.
“Maklumat yang diperoleh setakat ini dipercayai ia bukan bersifat buli, tetapi kita akan melakukan siasatan lanjut demi memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya kepada BH hari ini.
Dalam kejadian jam 2 pagi tadi, mangsa yang parah selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.
Remaja berusia 15 tahun itu baru selesai menjalani pembedahan dan ibunya, Siti Muhaini Mohammad Mansor berkata, doktor memaklumkan anaknya ditidurkan dan akan melalui ujian pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT).
Terdahulu, Shazeli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.
Katanya, siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama dan latar belakang sosial mangsa serta rakan sekelilingnya.
Susulan itu, Shazeli berkata, polis sedang mengumpulkan keterangan daripada saksi dan individu berkaitan, serta mahu spekulasi berhubung punca kejadian termasuk dakwaan wujud unsur buli terlalu awal untuk disahkan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam laporan berasingan pula berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.
Beliau berkata, pada masa sama, pengetua, penolong kanan hal ehwal murid dan semua warden sekolah ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga proses siasatan selesai.
Berita berkaitan
* Pelajar jatuh tingkat 3 asrama: Polis rakam keterangan 4 rakan mangsa
* Pelajar jatuh tingkat tiga asrama: Siasatan dalaman KPM ambil kira aspek pergaduhan, buli
* KPM arah Jemaah Nazir buat audit keselamatan, dilapor setiap minggu
* Lambat maklum waris pelajar jatuh asrama di Sabak Bernam kerana utamakan keselamatan mangsa
* Kerajaan Selangor jamin siasatan telus kes pelajar jatuh bangunan asrama
* Pelajar jatuh bangunan asrama di Sabak Bernam: Ibu hanya nampak anak sudah terlantar
* Lagi kes pelajar jatuh dari asrama sekolah, punca masih disiasat
* Pelajar Tingkatan Tiga kritikal jatuh dari tingkat tiga asrama, keluarga syak dibuli
* Pelajar jatuh bangunan tiga tingkat, KPM mula siasatan dalaman
© New Straits Times Press (M) Bhd