Pelajar Kelantan di Asia Barat selamat

Pelajar Kelantan di Asia Barat selamat

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Semua pelajar dari Kelantan yang menuntut di institut pengajian tinggi di Rantau Asia Barat berada dalam keadaan selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, mereka termasuk yang belajar di Jordan, menjalani kehidupan harian seperti biasa dan dapat belajar dengan selamat.

“Pada masa ini, lebih 200 pelajar di Jordan dan lebih 800 pelajar berada di Mesir. Kesemuanya selamat dan belum ada dalam kalangan mereka meluahkan rasa takut atau bimbang dengan situasi peperangan yang berlaku di sana.

“Mereka juga mematuhi setiap arahan daripada pihak kedutaan Malaysia di negara-negara berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelajar di Jordan berada paling hampir dengan kawasan peperangan berikutan negara itu berjiran dengan Israel.

Katanya, kerajaan negeri dan Yayasan Islam Kelantan (YIK) sentiasa berhubung dengan kedutaan Malaysia di rantau Asia Barat dan pihaknya menghantar tiga pegawai kebajikan yang berpusat di Mesir dalam usaha menjaga kebajikan pelajar di sana.

“Kita juga mengharapkan keamanan dan berdoa supaya peperangan cepat berakhir. Kita juga memberi sokongan kepada Iran untuk mempertahankan kedaulatan negaranya.

“Kita melihat peperangan itu sebenarnya dimulakan oleh Amerika Syarikat (AS) bersama Israel. Iran hanya mempertahankan diri dan jika AS-Israel berhenti daripada melakukan serangan, mungkin peperangan akan cepat berakhir,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top